Ruang

13 Oktober 2017.

Untuk kali pertama dalam hidup aku, aku berasa umur aku sudah lanjut. Kelakar jugak sebab baru umur 28 (lagi 3 bulan nak masuk 29). Baru-baru ni aku pindah ke UTP sebab dapat kerja kat sini, jadi ke sana sini nampak ramai orang muda. Lebih muda daripada adik-adik aku sendiri. Gaya hidup, pemikiran, cara bawak diri, semua dah lain.

Maka secara tiba-tiba, aku rasa terasing.

Aku rasa sunyi sekarang. Mungkin sebab perubahan persekitaran. Ya, memang tempatnya sama – aku pernah duduk di UTP dulu, hampir 6 tahun jugak lah. Tapi betul lah orang putih cakap,¬†home is where the heart is. Tempat sama, tapi semua orang dah tak ada. Salah aku jugak – aku jenis tak suka berkawan terlalu rapat. Bila terlebih rapat, aku rasa semulajadi aku akan jauhkan diri sedikit. Agak-agak dah lama, aku rapatkan balik. ‘Rapat’ di sini bukanlah nak kata macam dari segi jarak ke apa, tapi lebih kepada perasaan¬†attachment tu. Secara tak sedar, aku buat benda sama dengan keluarga aku jugak. Ada orang kata, jauh bau wangi, dekat bau tahi. Hari-hari bersua muka, lama-lama muak jugak. Hari-hari dengar Aphex Twin, lama-lama nak jugak dengar Chevelle.

Aku rasa aku faham sekarang kenapa orang akan berkeluarga. Kawan-kawan akan datang dan pergi. Keluarga (adik-beradik dan mak ayah) akan terpisah lama-kelamaan. Bila dah bekerja, rumah lama kita tinggalkan. Ya, ikatan tu tak akan putus, betul. Tapi fitrahnya, seorang anak tak boleh berkembang kalau berkepit dengan mak ayah selama-lamanya. Anak itu kena terima hakikat yang dia akan menjadi bapa kepada seorang anak yang lain.

Aku rasa aku faham jugak kenapa orang akan berkawan sampai mati. BFF lah senang cerita. Sebab ada sesetengah orang tak suka fikir macam-macam bila berkait dengan keluarga. Jadi ke mana dia pergi? Dia cari kawan-kawan yang rapat, setia sampai tua. Jadi kawan-kawan tu lah yang mengisi kekosongan bila tak berkeluarga. Ya, aku rasa aku faham sedikit sebanyak sekarang.

Ah, sudahlah merepek pagi-pagi buta. Esok nak kerja.

Advertisements